Baru-baru ni memang kecoh di media sosial tentang kebiadapan seorang wanita yang melemparkan kata-kata kesat kepada anggota polis. Isu itu mendapat perhatian para netizen dan sebagaimana dijangka, memang ramai yang menyelar tindakan wanita tersebut.

Pada pandangan Giena, jika benar sekalipun berlaku kecemasan di pihak wanita tersebut… jangan sesekali melemparkan kata-kata kesat. Apatah lagi kepada anggota polis yang sedang bertugas. Kita kena sedar bahawa di saat genting sebegini, anggota polis dan keselamatan semua menjalankan tanggungjawab mereka demi keamanan dan keselamatan negara.

Pengorbanan anggota keselamatan, polis dan para frontliners tak dapat disangkal lagi. Mereka bukan sahaya menggadaikan nyawa mereka untuk berdepan ancaman musuh tanpa senjata ini, malahan mereka juga merisikokan nyawa ahli keluarga mereka juga. Berkorban kasih sayang dengan ahli keluarga dan meletakkan keselamatan kita semua ni sebagai prioriti tanggungjawab mereka.
Sebenarnya, tak kiralah siapa pun… kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menghormati semua orang. Ketepikan perasaan perkauman, warna kulit mahupun agama. Dengan siapa sahaja pun, hormatilah bidang tugasnya. Hormatilah insan tersebut sebagai seorang manusia.

Jadi nasihat Giena, dalam situasi apa sekalipun perasaan saling menghormati itu penting. Kita perlu letakkan perasaan hormat sebagai satu asas dalam kehidupan supaya kita mempunyai toleransi, bersopan dan boleh berkomunikasi dengan baik. Apatah lagi kita di Malaysia yang berbilang kaum ini. Hormatilah satu sama lain supaya kita semua bermuafakat dalam segala situasi tidak kira di kala sukar mahupun senang.

Di kesempatan ni juga, Giena nak nasihatkan semua sekali untuk #StayHome dan sama-sama dengan kerajaan untuk putuskan rantaian Covid-19 ini. Kita pasti boleh melakukannya. Mulakan langkah pencegahan daripada diri sendiri dulu. Lindingi keluarga kita dan sentiasa mematuhi arahan kerajaan. Giena yakin, tempoh PKP ini akan memberikan manfaat yang baik untuk kita semua.